Isnin, 29 Julai 2013

FIKIRKANLAH WAHAI ANAK MELAYU

Perkukuh Matlamat Perjuangan

picasion.com_e66c00d92015d21627d143177cfd6144BARISAN NASIONAL (BN) tetap utuh dan teguh sebagai sebuah parti yang sememangnya kukuh dengan matlamat perjuangan, sebuah parti yang terbentuk bukan dalam tempoh sehari atau untuk memenangi pilihan raya sebaliknya kesungguhan demi kesejahteraan dan kesinambungan kemajuan berterusan.
Namun demikian, ada pihak yang sengaja menimbulkan pelbagai isu dan polemik berkaitan politik semasa termasuklah memperkatakan BN dengan pelbagai cerita negatif.
Sesungguhnya, tidak kiralah apa sahaja bentuk spekulasi, manipulasi dan provokasi yang dibuat ke atas BN khususnya apabila pakatan pembangkang membuat pelbagai tuduhan dengan tujuan menghancurpunahkan, perlu diingat bahawa landasan yang paling kukuh adalah kembali kepada asas dan perjuangan iaitu mendukung cita-cita kebangsaan demi masa hadapan.
Dengan berpegang kepada asas dan prinsip dalam perjuangan politik yang tentunya penuh dengan liku dan cabaran, tentunya setiap anggota di dalamnya tidak akan sanggup mengorbankan masa depan parti yang secara langsung adalah masa hadapan kepada generasi akan datang.
Dalam hal ini, tidak kiralah apa yang terjadi sekalipun, perjuangan dan parti janganlah diketepikan lantaran kepentingan diri sendiri ekoran ketidakpuasan hati yang dirasa hinggakan sanggup mengambil tindakan keluar dari parti dan menubuhkan parti lain atau memberikan sokongan kepada seteru yang sebelum ini banyak memperlekehkannya.
Mengambil contoh daripada sejarah politik negara yang pernah berlaku, sememangnya kelahiran PAS yang sehingga kini menjadi pembangkang tiada arah tuju juga adalah ekoran daripada ketidakpuasan pemimpin tertingginya yang kecewa setelah tewas dalam pemilihan parti.
Lihat sahaja bagaimana Haji Ahmad Fuad yang diberi amanah menangani hal ehwal berkaitan agama Islam dalam UMNO telah kalah kepada Tunku Abdul Rahman dalam merebut jawatan Yang Dipertua UMNO pada tahun 1951. Ini menyebabkan Haji Ahmad Fuad bertindak meninggalkan UMNO dan menubuhkan PAS. Biarpun PAS telah menjadi pembangkang sejak sebelum kemerdekaan lagi namun parti tersebut tetap gagal menumbangkan UMNO yang menjadi tunjang kerajaan.
Begitu juga dengan DAP yang tertubuh ekoran kekecewaan kerana tidak bersetuju dengan idealogi Perikatan-UMNO lantas telah membuka cawangan PAP iaitu serpihan daripada People’s Action Party di Singapura apabila negara terbabit berpisah dari Malaysia.
Parti lain yang lahir ekoran rasa tidak puas hati dengan keputusan pemilihan dan kecewa kerana tidak mendapat tempat ialah Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987.
Puncanya adalah sama iaitu gagal menewaskan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk jawatan tertinggi parti.
Kemudiannya, parti yang turut lahir ekoran rasa kecewa setelah gagal memegang tampuk pentadbiran dan jawatan nombor satu dalam parti ialah Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila mantan Timbalan Perdana Menteri yang juga mantan Timbalan Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal meraih impiannya pada tahun 1998.
Sehingga kini, Anwar tetap kekal dengan angan-angannya dan masih terus bermimpi untuk menjadi Perdana Menteri biarpun dengan memperalatkan rakyat, menggadai bangsa dan menjual agama sendiri.
Lantaran untuk menyokong impian palsu tersebut, Anwar terbukti terus merencanakan pelbagai agenda termasuklah cubaan menarik ahli-ahli dan para pemimpin BN menyertainya namun malangnya, cubaan tersebut gagal dilakukan.
Namun Anwar yang terkenal licik melakukan agenda lain apabila beralih kepada bekas-bekas pemimpin dalam BN dengan ditawarkan imbuhan tertentu termasuk jawatan-jawatan penting sekiranya PKR dapat merealitikan impian menjadi Kerajaan.
Justeru, tidak hairanlah ada di antaranya mereka yang kecewa ekoran gagal mendapat jawatan semasa dalam BN turut terpengaruh lantas menyokong idealisme Anwar seperti bekas menteri yang gagal mendapat tempat iaitu Zaid Ibrahim dan Chua Jui Meng.
Sebagai pejuang sejati, perlu diselami matlamat perjuangan lantas, jika benar ada kesongsangan atau kesilapan dalam parti yang didukung, sewajarnya perbetulkanlah melalui permuafakatan dan persaudaraan tanpa perlu adanya pecah belah, fitnah memfitnah dan caci maki yang hanya akan memburukkan keadaan.
Namun apabila pangkat, kedudukan dan kuasa yang menjadi taruhan maka tentunya soal benar atau salah telah dikesampingkan lantas musuh yang dahulu dikutuk dan dikata boleh menjadi kawan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan